Travelog: Ekspedisi Puncak Kinabalu | Part 3


- 14 Disember 2010 | Rabu -

Hari ni adalah hari bersejarah bagi kami. Hari ni  menentukan sama ada kami 17 orang akan berjaya mendaki ke gunung Kinabalu atau tidak. Pagi ini, masing² berasa segar dan bersemangat untuk memulakan pendakian selepas tidur yang nyenyak malam tadi. Cukup untuk memulihkan tenaga kami setelah menghabiskan masa seharian dalam  kapal terbang dan 'bas mini' semalam. Steamboat malam tadi pun tidak menghampakan. Jadi, jiwa kami tambah membara pagi itu. yeahh!
menapak ke Restoran
 ----------------------------------------------
 Tak faham? baca dulu Siri 2 : Travelog: Ekspedisi Puncak Kinabalu | Part 2

----------------------------------------------
*entri ini panjang, harap masa anda lapang - walau bagaimanapun ianya berbaloi untuk pengalaman anda :) *

Saat menuju ke Restoran Mesilau untuk sarapan pagi.
Seawal jam 5.30 pagi, kami telah bangkit dan mula menyiapkan diri. Bag dikemas molek, pakaian mendaki - t-shirt hitam, disarung cantik menaikkan lagi semangat mendaki kami. Tepat jam 6.15 pagi kami bergerak beramai² ke Restoran Mesilau untuk sarapan pagi. Sementara menunggu restoran dibuka, kami sempat  meronda² sekitar kawasan restoran sambil² merakam detik² menarik di Mesilau kerana belum pasti lagi kami akan kembali semula ke sana. Grup foto beramai² turut menanam kenangan terindah kepada kami semua. Perut perlu diisi untuk proses 'pembakaran' semasa mendaki nanti. Memang betul² puas makan pagi tu, masing² aku tengok 3-4 kali pusing penuhkan pinggan, maklum la dah bayar pakej kan. Hentam saja apa yang ada. haha.

Tepat jam 7 pagi, 2 van daripada Kinabalu Park tiba menjemput kami [bukan bas mini semalam]. Semua bergegas siap, tinggalkan pinggan cawan, terus menggalas bag masing². Pada pagi itu juga, setiap kami disediakan satu bagpack untuk makan pagi semasa mendaki nanti. Isi dia, telur rebus, sandwich, air mineral dan epal sebiji. 15 minit kami berkemas menyumbat bag masing² ke dalam van. Semua perlu di bawa sebab Mesilau tidak akan kami jejaki selepas turun nanti. Setelah siap, van pantas berangkat ke Kinabalu Park.

Puncak Gunung Kinabalu - Sasaran kami!
Alhamdulillah, cuaca pagi tu sangat² baik, langit cerah dengan mentari memancar indah menerangi bumi Kundasang. Puncak Kinabalu sangat cantik dilihat dari sisi perjalanan kami. Daripada pandangan mata, terasa dekat puncak Kinabalu untuk kami gapai, namun hakikatnya..fuhhh. akan diketahui cabarannya sebentar lagi. Dalam perjalanan yang mengambil masa kira² 40 minit ke Kinabalu Park, kami sekali lagi disajikan dengan pemandangan² cantik dan menakjubkan yang jarang² untuk ditemui di Semenanjung, begitu juga dengan kehidupan masyarakat tempatan di sana.


Jam 8.15 pagi kami tiba di Kinabalu Park, terus saja kami punggah bag² untuk disimpan di Pejabat Kinabalu Park dengan bayaran sebanyak RM10 dicaj untuk setiap satu bag. Perlu diingat, untuk mendaki ke puncak, hanya barang² penting dan perlu sahaja yang akan dibawa. Dengan jarak perjalanan sejauh 6 km ke Laban Rata, mana mungkin membawa bag² berat. Kalau nak bawa boleh, tapi kalau dah tak larat nanti, nak minta porters bawa akan dicaj dengan bayaran RM20 setiap kilo [kalau aku tak silap]. Jadi, masing² memutuskan keperluan untuk di bawa dengan hanya 1 beg digalas. Sardin dan mee segera , terkeluar dari senarai sebab makanan lebih enak menanti di Laban Rata nanti. haha.


Tepat jam 9.00 pagi, kami bersiap menaiki van transit terus ke Pintu Timpohon. Di pintu inilah kami akan berjalan memulakan pendakian bersama 2 orang porters [yang aku rasa terbaik! nasib baik request awal]. Jarak Kinabalu Park ke check point Pintu Timpohon adalah kira² 15 minit menaiki kenderaan. Boleh saja kalau nak berjalan tapi makan 2 jam kalau tak silap. Semasa kunjungan aku pada 2007 dulu, aku dah pernah berjalan ke Pintu Timpohon dari main gate, tapi untuk saat ini, itu kurang mencabar kalau nak dibandingkan sasaran kami untuk ke Puncak Gunung Kinabalu kan? So, tenaga kena optimum sepenuhnya.

Tiba di Pintu Timpohon, semangat kami mula membara. Saat yang dinantikan akan bermula sebentar lagi.

Porters memulakan bicara dan menyampaikan sedikit taklimat, "Jadi sebelum kita mula mendaki, kalau ada apa² nak buat tu terpulang la. Warm up ka, baca doa ka. Silalah". Kami mengangguk tanda faham. Beni selaku ketua projek bersuara, "So, kawan² sebelum kita mula mendaki, kita warm up dulu la ek". Semua geng mengambil tempat dan Beni mengetuai sesi warm up berkenaan. Goyang sini siket, goyang sana sikit, gelek² sikit, okay panas². Puas memanas badan, doa dipanjatkan moga segala urusan pendakian kami ini dimudahkan Illahi, Insya-Allah.

9.30 pagi, sejarah dilakar, kami seramai 17 orang melangkah masuk ke trek laluan ke Puncak Kinabalu dengan jiwa yang kental. Nama terlebih dahulu dicatit pada buku log di Pintu Timpohon sebelum kami semua dilepaskan. Barisan disusun, langkah diatur, kami seluruhnya melangkah penuh bersemangat mendaki ke Laban Rata. Sambil² mengorak langkah, sempat juga kami bergambar dibeberapa check point [pondok rehat]. Nampak papan tanda 1km pun dah beria bukan main. Seronok tak terkata rasanya tatkala itu - Maklumla nak buat kerja gila.


Barisan yang disusun penuh semangat pada awalnya hanya kekal untuk dua jam pertama sahaja. selepas itu, masing² mula berpecah mengikut kemampuan, kelajuan dan kegagahan masing². Yang pantas, terus mara, yang dibelakang, terus juga digagahi kudrat dengan diiringi porters sebagai pemantau. Sambil² berjalan, backpack yang dibekalkan pagi tadi disantap penambah tenaga. Makanan² lain seperti coklat, kurma dan sebagainya turut mengambil tempat. Kekejangan otot kaki, penat, dan lenguh, mula menyerang seorang demi seorang. Minyak angin diperlukan saat ini. Yang kekal cergas terus maju, yang dah tak larat, tetap mengatur langkah berbekal hati yang tabah.

1 kilometer di lepasi, 2km, 3km, 4km dan selepas beberapa perhentian, 5 kilometer akhirnya dilewati. Pada tahap ini kami telah pun berpecah kepada beberapa kumpulan kecil, berempat, bertiga, berdua dan ada juga yang menempuh laluan berseorangan. Laluan berbatu penuh liku, akar² kayu juga tersembul di beberapa laluan menambah lagi kepayahan mendaki. Itulah cabaran getir yang setiap kami perlu tempuhi. Walau bagaimanapun, dalam kepayahan yang kami lalui, banyak perkara² menakjubkan dan menarik lirikan mata kebanyakan kami. Pada tahap ini, pokok² mula berubah bentuk, hawa semakin dingin, dan kabus sekali sekala mengiringi laluan mendaki kami. Pemandangan alam sekitar amat menakjubkan dan sungguh² memukau [bagi aku la]. Semua tampak ajaib seakan² berada di 'dua alam' - alam kayangan, alam bunian atau alam buanakah?

Laluan 5km yang kebanyakannya berbatu diharungi dengan semangat waja dan seterusnya 6km juga berjaya dilepasi dengan keazaman yang tinggi dan akhirnya, untuk pertama kalinya, tanah Laban Rata kami pijak penuh bergaya. Kumpulan pertama tiba seawal jam 1.50 petang - mereka adalah Amir, Anip dan Sharul. Aku terkejut juga diorang ni sampai awal. 4 Jam lebih je? Boleh tahan. Aku baru sampai Paka Hut saat itu. Nasib baik la Puncak Kinabalu ni antara "Wilayah Celcom" jadi untuk bermesej dan calling, itu tak menjadi masalah. Itu pasal aku tahu diorang dah sampai. Selang 30 minit, aku bersama isteri dan Radzi, akhirnya tiba juga di Laban Rata - alhamdulillah.

Kalau dilihat sekitar Laban Rata yang berada diparas 3,272 meter, aku bersyukur kami semua ditempatkan di Laban Rata Rest House [bangunan utama bagi penginapan dan restoran]. Jadi kalau nak makan malam dan segala urusan lain, tak perlulah kami banyak pergerakan. Selain Laban Rata Rest House, disediakan juga tempat² penginapan lain seperti Gunting Lagadan Hut, Burlington Hut, dan Waras Hut. Hawa sekitar Laban Rata adalah sekitar 10-12°C. Sejuk ketar juga la kalau jalan² sekitar Laban Rata tu tanpa baju. Disekitar Laban Rata tu juga ada terdapat gelanggang bola tampar, sepak takraw dan helipad untuk heli aku mendarat nanti. Ceh, konon!.

Lepas je sampai di kaunter, terus aku pickup towel, kunci dan terus lari ke bilik. Longgar beb lutut. Tapi keseronokan dapat menjejakan kaki di aras 3,000 meter lebih hebat mengatasi keletihan berjalan selama hampir 4 jam! Selang beberapa ketika, seorang demi sorang muncul menampakkan wajah² ceria masing². Sampai juga korang. Mana yang kejang kaki, yang ketinggalan, semua berjaya akhirnya menjejakkan kaki di Laban Rata. Korang HEBAT!

Pukul 3.30 petang, sesi makan malam tersedia untuk kami santap. Memang mantap menu dia, perut kasi buncit balik sebab awal pagi² nanti tenaga 100% akan digunakan untuk fasa akhir ke puncak. Selesai makan, aktiviti bebas la apa lagi. Mengurut kaki, tidur dan 'cuci mata' sekitar Laban Rata adalah antara aktiviti paling menarik saat itu. Mandi bukanlah aktiviti yang best saat itu, sebab heater masa ini tak berfungsi, jadi rata² kami memang tak mandi la. - gila, sapa nak mandi kalau suhu air 7-8°C? Tapi kalau la korang nak mandi juga, basahkan tuala korang dan lap satu badan. Konon² macam mandi la.

Selesai aktiviti bebas, sekitar jam 6 petang, satu sesi taklimat kami adakan untuk memberi penerangan pendakian pada awal pagi nanti. Seperti biasa, Beni mengetuai perbualan selepas sebelum itu, sebahagian kami seronok berborak dengan porters yang mengiringi kami. Isi penting untuk dihighlight adalah - 1 pagi, semua mesti bersiap, tidur secukupnya, bawa hanya barang penting dan pakaian pastikan yang terbaik termasuk standby baju hujan dan yang paling utama, head light. Bentuk laluan yang bakal dilalui juga dijelaskan memandangkan keadaan rupa bentuk laluan lebih mencabar berbanding laluan siang tadi. Ditambah pula kegelapan malam yang pasti mencabar jiwa dan menguji mata. Sekitar jam 7, sesi ditamatkan untuk memastikan semuanya mendapat rehat yang secukupnya. Tutup lampu, tidur.

Dalam kegembiraan berjaya ke Laban Rata, kegembiraan menakluk puncak Kinabalu mungkin lebih hebat daripada biasa. Kesukaran dan debaran kian membara, dengan keletihan masih terasa dikalangan kami. Perkara pokok yang perlu diinggat dan disemat dalam hati adalah - "jangan terlalu memaksa diri, teruskan mengikut kemampuan, sebab keselamatan diri adalah lebih utama daripada kejayaan ke puncak".

Adakahkah kami seramai 17 orang berjaya menawan punca Gunung Kinabalu dengan gayanya setelah kejayaan ke Laban Rata? Nantikan episod seterusnya kerana aku perlu tidur, awal pagi nanti nak sambung mendaki semula. Jadi, selamat malam. Terima kasih luangan masa anda hingga ke titik terakhir ini.TITIK.


Terima kasih untuk masa anda. [maaf mengambil masa anda membaca travelog ala² novel ini]

Sila tinggalkan ulasan anda :) 

Comments

Anonymous said…
Alhamdulillah...sy sampai juga ke puncak....20062011....hari tue dr kaki gng jam 9.50 pg..sa,pai laban rata jam 2.58ptg...
dwatyKNY said…
wah tak leh jadi ni... saya org sabah pun tak naik lagi.... hehehehe
pyejal said…
@CikNyzwah, boleh tahan tu! mesti set masa ni..haha. seronok tak?
pyejal said…
@dwaty apa lagi, naik la. rugi orang sabah tak naik. sangaaaaatttt cantik di atas sana .:)
Anonymous said…
ini tak boleh jadi ni. xpe. aku belah Semporna nak habiskan jajah pulau dulu. hahaha
pyejal said…
@Qwah, duk sana ke apa? cepat², nnt publish..:)
Yna said…
U guys also will notice an outstanding change of natures and climates all the way up to the top. The best part is that, u dont even bother for not taking any shower as the temperature is like killing u down. U wont get too dirty though, so no need to worry much abt cleanliness for solat. Juz get your clothes changed thats all. Somehow it was a wonderful and unforgettable experience u'll ever had. Trust me :)

The plot was beautifully written by Pyejal. Cant wait for next episode. Cepat buat :)
Anonymous said…
mmg seronok sgt2.....tapt masa mendaki ke puncak dari resthome sy org paling last..smpai puncak jm 7 pgi..sbb byk sgt brhenti...hihihihi

Popular Posts